Monday, December 9, 2013

JOHOR: WARIS KERABAT SULTAN ALI IBNI SULTAN HUSSEIN

Akhir-akhir ini banyak orang mendakwa sebagai ahli kerabat diraja Melaka dan menuntut supaya ditabalkan sebagai Sultan Melaka. Melaka dari segi sejarah adalah pusat berkembangnya tamadun dan kebudayaan Melayu Islam dan sangat terkenal di dunia sebagai pusat perniagaan di sebelah timur pada abad ke 14 dan 15. Malah Melaka menjadi rebutan kepada bangsa asing dari dunia Barat kerana kekayaan dan kemewahannya. Kedudukan Melaka di tengah-tengah laluan laut kepada kapal-kapal perdagangan Timur-Barat menjadikannya berkembang begitu pesat. Faktor pentadbiran yang baik iaitu sistem pemerintahan beraja oleh orang Melayu dan agama Islam juga menjadi penyebab kemakmuran Melaka.

Melaka telah jatuh ketangan Portugis pada tahun 1511 tetapi kerajaan dan kedaulatan kesultanan Melayu tidak luput. Sultan Melayu Melaka telah memindahkan pusat pentadbiran ke Johor dan terus menerus menyerang Melaka yang diduduki Portugis kemudian Belanda dan akhirnya Inggeris.

Di era Belanda dan Inggeris pada abad ke 19, empayar kesultanan Melayu dipecah-pecah dan terbahagi kepada dua kesultanan. Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 telah mewujudkan sultan Melayu di bawah kawalan Belanda berpusat di Riau dan sultan Melayu di bawah pengaruh Inggeris berpusat di Singapura. Sultan Abdul Rahman di Riau dan Sultan Hussein di Singapura adalah putera Sultan Mahmud yang memerintah kesultanan Melayu Johor yang wujud dari kesinambungan daripada kerajaan Melayu Melaka. Kedua-dua kuasa dan keturunan dua sultan ini akhirnya dimatikan atau dibekukan oleh Belanda dan Inggeris dengan tipu helah.

Mengikut ahli waris sultan Hussein, baginda telah dinasihatkan oleh Inggeris supaya tinggal dan memerintah kawasan Kesang yang dikhaskan kepada baginda dan waris-waris baginda turun temurun. Inggeris juga membenarkan Melaka untuk dijadikan kota pusat pemerintahan baginda disamping terus bersahabat dengan Inggeris. Sementara itu, keturunan Temenggung Ibrahim masih bekuasa di selatan tanah besar Johor, manakala keturunan bendahara pula berkuasa di Pahang.

Sehubungan itu, Sultan Hussein telah berpindah ke Melaka dan tinggal di Tengkera, kawasan tradisional kaum kerabat sultan Melayu Melaka dan mangkat di situ. Baginda telah diganti oleh putera baginda Tengku Ali yang telah menjadi sultan bagi daerah Kesang-Muar. Baginda tinggal di Umbai kerana terdapat makam nenda baginda dan akhirnya baginda juga mangkat dan dikebumikan di Umbai Melaka.

Nasib Sultan Ali adalah serupa seperti ayahanda baginda yang menjadi malang dan terus dalam kedukaan kerana muslihat dan tipu helah Inggeris. Melaka terus menjadi tanah jajahan Inggeris, tidak sebagaimana disangka oleh Sultan Hussein dan Sultan Ali yang yakin dengan janji manis Inggeris untuk membenarkan baginda menjadikan Melaka sebagai kota pemerintahan kerajaan baginda. Pada kenyataannya, sultan hanya dibenarkan tinggal di Melaka dan dikawal terus oleh Inggeris sehinggalah baginda mangkat.

Di era abad ke duapuluh ini pula, orang-orang Melayu menyaksikan bagaimana kerajaan Singapura mematikan kedaulatan waris dan kerabat Sultan Hussein di Singapura dengan mengambilalih Istana dan kawasan Kampung Gelam menjadi pusat kebudayaan Melayu yang hanya bertaraf sebagai pusat pelancongan.

Di waktu yang sama tidak kurang juga nasib yang serupa terhadap keturunan waris sultan Ali di Semenanjung. Mereka hilang kuasa setelah Tengku Alam gagal menobatkan diri sebagai sultan penganti ayahanda baginda Sultan Ali. Inggeris telah menjalankan tipuhelahnya dan selepas Perang Jementah 1879, Tengku Alam telah ditangkap dan dikuarentin di Singapura hinggalah baginda mangkat.

Kerajaan baginda di kawasan Muar-Kesang diperintah oleh Sultan Abu Bakar dan sehingga pada hari ini telah menjadi sebahagian negeri Johor dengan Tanah Takluk Jajajahannya. Walaupun begitu tuntutan hak terus menerus berlaku tetapi menjadi begitu komplikasi dan terabai kerana perkembangan politik semasa yang melanda Johor dan Tanah Melayu sehingga akhirnya terbentuk sebuah negara, Malaysia.

Mimpi buruk kepada ahli keluarga dan waris sultan Ali berterusan dalam marga mereka sendiri. Walaupun tiada lagi berniat derhaka mahupun permusuhan kecuali taat dan setia kepada sultan Johor dan kerajaan Malaysia, mereka sebenarnya terus melestarikan kedaulatan yang telah tiada ini dalam marga mereka. Sehingga kini terdapat beberapa entiti yang bergerak bersendirian dalam lingkungan yang terbatas. Mereka telah bergaul, bernikah dan menjadi rakyat biasa. Hanya satu keluarga yang menonjol iaitu keluarga Engku Saidin bin Engku Mahmud yang masih kuat dan sampai ke kerabat di raja sultan Pahang. Manakala disebelah isterinya Tengku Raimie sampai kepada Sultan Ali. Hanya keluarga ini yang masih ada organisasi tidak rasmi yang ada Bendaharanya, Temenggong, Laksamana, Panglima yang dilantik mengikut keturunan.

Kini, struktur organisasi tradisional ini diwarisi dan diaktifkan oleh anakanda beliau Engku Khairul Azuan bin Engku Saidin. Keadaannya masih terbatas dalam marga mereka sendiri tetapi ada kemajuan kerana kesahihan mereka dimaklumi oleh kerabat di raja Pahang dan Kerabat diraja Johor walaupun tidak secara rasmi. Ini adalah disebabkan hubungan sirahturahim kebiasaan yang berterusan. Darah keturunan dan persaudaraan masih bertaut. Struktur Organisasi walau hanya seperti bayangan pada Engku Khairul Azuan bin Engku Saidin ini, juga dimaklumi dan ada kerjasama dengan Persatuan Waris dan Keturunan Temenggong Muar (PEWARIS), Persatuan Waris dan Kerabat Sultan Hussein Singapura, Persatuan Waris dan Kerabat Bendahara Johor, dan Waris dan Kerabat diraja Pahang.

Terdapat juga keunikan pemegang jawatan atau jabatan iaitu seperti Bendahara, Temenggong dan Laksamana kepada Engku Khairul kerana mereka juga adalah dari darah keturunan raja atau saudara mara kerabat. Seperti Tun Bendahara iaitu bendahara kepada Engku Khairul berstatus atau pangkat bapa saudara pupu beliau dan darah keturunannya sampai kepada kerabat di raja Negeri Sembilan dan juga kerabaat diraja Pahang di samping Melaka dan Kesultanan Cerebon. Mereka yang dilantik, meskipun tidak bergantung kepada kelulusan tinggi akademik tetapi mesti mempunyai tabal atau alat kebesaran warisan keluarga. Dan kesahihan sekuturunan diraja atau kerabat walaupun mereka telah didiskriminasi dan menjadi orang biasa adalah dimaklumi dan diketahui.

Sumber (c) http://wariskesultananmelaka-yayasansulami.blogspot.com

No comments:

Post a Comment