Saturday, July 3, 2010

Sultan Alauddin Riayat Shah


Makam Sultan Alauddin Riayat Shah (1) Ibni Sultan Mansur Shah: Makam Sultan Paling Tua Di Negara Kita.

Makam ini terletak di Kampung Raja lebih kurang 6 kilometer dari Pekan Pagoh, sebuah pekan kecil yang terletak kira-kira 45 minit ke utara Muar. Dahulukala orang tidak pernah sedar akan wujudnya makam ini, ada yang tahu ianya hanya sebuah makam tua berbatu nisan Acheh.

Selama hampir lima kurun makam raja yang masyhur itu terbiar sepi tanpa dikunjungi kerana terletak di sebuah kawasan yang agak terpencil.

Tidak dapat dipastikan bilakah sebenarnya makam ini dikesan. Bukti Sejarah terawal menceritakan kisah makam di Bukit Keramat Pagoh ini mula diperkatakan pada tahun 1930, apabila kerajaan Johor atas titah Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar, telah menubuhkan sebuah badan Jawatankuasa untuk menyiasat dan menyingkap sejarah makam tua di Pagoh ini.

Tiga orang tokoh yang diberi mandat oleh Kerajaan Negeri terdiri daripada, Tengku Abd.Hamid bin Tengku Abd.Majid (Timbalan Penguasa Pelajaran Johor), Sayid Abd.Kadir bin Mohsin Al-Atas (Mufti Kerajaan Johor pada waktu itu) dan Haji Muhammad Amin bin Ahmad ( Amil Zakat Johor).

Jawatankuasa tersebut melaporkan telah membuat kajian dari segala macam aspek untuk memastikan susur galur makam tersebut sehinggakan kepercayaan orang ramai di Daerah Keramat, Pagoh diambil perhatian berat.

Kepercayaan itu menyatakan ada dua buah makam yang menggunakan batu nisan Acheh itu adalah Kubur Raja Merlang dan adik perempuannya. Ini berasaskan Sejarah Melayu yang ada menyebut, setelah Inderagiri di Minangkabau dikalahkan oleh Melaka, anak rajanya yang bernama Raja Merlang dan adiknya telah dibawa ke Melaka sebagai tawanan perang.

Batu nisan yang terukir nama Sultan Alauddin Riayat Shah I ibni Sultan Mansur Shah di Pagoh


Sultan Mansur Shah ( 1456-1477), Sultan Melaka yang bertakhta pada masa itu telah berkenan kepada Raja Merlang yang menunjukkan taat setianya kepada baginda lalu dikahwinkan dengan adianda baginda yang bernama Puteri Bakal.

Sementara adik perempuan Raja Merlang telah dikahwinkan dengan putera Sultan Mansur Shah, yang bernama Raja Hussien, (kemudiannya naik takhta dengan memakai gelaran Sultan Alauddin Riayat Shah I).

Potret Sultan Alauddin Riayat Shah


Berdasarkan catatan sejarah, andaian dibuat bahawa Raja Merlang serta isterinya pasti telah mengikut sewaktu Sultan Alauddin dengan Permaisurinya berangkat ke Pagoh sekitar tahun 1485. Bagaimanapun apabila kajian sejarah berkaitan peristiwa yang menyebabkan Sultan Alauddin Riayat Shah I meninggalkan Melaka serta keyakinan di sebalik peristiwa itu dengan panduan tarikh serta tempat, akhirnya dibuat pengisytiharan bahawa makam tua itu sebenarnya milik Sultan Alauddin Riwayat Shah I, putera Sultan Mansur, Sultan Melaka yang ke 7, yang naik takhta di Melaka pada tahun 1477 dan mangkat di Pagoh pada tahun 1488.

Keyakinan terhadap makam Sultan Melaka itu semakin terang apabila bukti-bukti terbaru ditemui pada tahun 1964, berupa pecahan-pecahan pinggan mangkuk lama yang dipercayai zaman Maharaja Ming yang memerintah pada kurun yang ke 14, sezaman dengan Sultan Alauddin Riayat Shah.

Penemuan bersejarah itu berlaku sewaktu kerja-kerja menggali tanah untuk membina masjid dijalankan berhampiran makam Sultan Melaka itu. Sekaligus menyakinkan ditapak iitulah dahulunya terletaknya Istana Sultan Alauddin Riayat Shah I.

Masjid Kg Raja Pagoh- di tapak inilah dipercayai tapak asal Istana Sultan Alauddin Riayat Shah I


Mangkuk-mangkuk Maharaja Ming itu dipercayai telah dihadiahkan oleh Maharaja China semenjak zaman Parameswara lagi berikutan kedatangan Laksamana Ying Ching ke Melaka pada tahun 1405 dan diwarisi turun temurun.

Apabila Sultan Alauddin Riayat Shah I telah memutuskan untuk berpindah ke Pagoh, baginda dipercayai telah mengarahkan supaya pinggan mangkuk tersebut dibawa bersama-sama.

Menceritakan perihal Sultan Alaudin Riayat Shah I ini, banyak tercatat dalam sejarah yang menyatakan baginda sebenarnya merajuk dan kecewa di atas sikap orang-orang besar Istana yang telah mabuk harta dan tidak menjalankan tugas denagn sempurna.

Walaupun di zaman baginda, Tun Perak sebagai Bendahara baginda, tetapi gelaja rasuah telah menjadi-jadi dan teramat susah untuk dihapuskan, membuatkan baginda mengambil keputusan untuk berehat di Pagoh kira-kira dalam tahun 1484, empat tahun sebelum kemangkatan baginda dalam usia yang masih muda, tidak sampai 50 tahun.

Sebagai seorang Sultan yang adil dan sangat mengambil berat perihal rakyat, baginda pernah menyamar diri di malam hari untuk menyiasat sendiri setelah kejadian rompakan menjadi-jadi, sedangkan pembesar yang diamanahkan gagal mengawal keamanan. Baginda diceritakan telah berlawan dengan 4 orang perompak dan berjaya telah membunuh mereka.

Ada juga catatan sejarah menyatakan, baginda berundur ke Pagoh kerana mengalami penyakit yang sukar diubati, dipercayai disantau. Atas nasihat pembesar negeri baginda bersetuju untuk bersemayam di Pagoh, disamping berusaha untuk berubat.

Sepanjang pemerintahan baginda Melaka yang masyhur itu terus diamanahkan kepada Tun Perak, Bendahara Melaka yang masyhur semenjak zaman Sultan Muzaffar Shah lagi. Sementara putera baginda, Raja Mahmud yang sedang remaja dilantik sebagai bakal raja dengan asuhan Tun Perak.

Malangnya Tun Perak telah meninggal dunia tidak lama kemudian iaitu pada tahun 1488 dan dalam tahun yang sama juga Sultan Alaudin Riayat Shah (I) sendiri mangkat tanpa sempat menurunkan wasiat.


Sejarah Olak sepam

Yang pasti, Kampung Olak Sepam itu membawa kepada Kuala Sungai Pagoh yang bertemu dengan Sungai Muar. Di sini ada kesan sejarah lamanya yang tersendiri kerana daripada Sungai Pagoh lah seseorang itu boleh menaiki sampan (mungkin juga kapal) untuk masuk ke Kampung Raja di mana pernah bersemayamnya seorang Sultan Melaka yang dinyatakan sebagai seorang wali Allah terpilih, Sultan Alauddin Riayat Shah.
Masjid Lama Kampung Olak Sepam

No comments:

Post a Comment